POKOK SUKUN
PENGENALAN
Pokok sukun berbuah sepanjang tahun namun pengeluaran bunga meningkat sekitar Februari Mac dan Julai/Ogos. Pengutipan hasil dijangka selepas dua bulan berbunga iaitu April/Mei dan September/Oktober. Sukun mula mengeluarkan hasil setelah lebih dua tahun ditanam dan berat sebiji buah sukun dianggarkan satu hingga tiga kilogram.
Sukun tergolong di dalam famili Moraceae, genus Artocarpus dan nama saintifiknya adalah Artocarpus communis; sama genusnya seperti nangka dan cempedak. Pokok sukun dipercayai berasal dari Polinesia dan banyak terdapat di kawasan tropika seperti di Sri Lanka, Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik termasuk di negara kita.
Kandungan karbohidrat yang tinggi pada buah sukun boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan pelbagai jenis hidangan. Di Kepulauan Polinesia, sukun merupakan makanan ruji penduduknya. Kepingan sukun disalut tepung yang digoreng amat popular di negara kita sebagai hidangan minum petang. Di samping dijadikan kuih-muih, industri hiliran seperti kerepek, cips, jem dan biskut mula mendapat pasaran di negara kita.
Bagi pembiakan pokok sukun pula, ianya mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman matatunas dan tut (markot). Bagi kaedah cantuman matatunas, ia dibiak dengan menggunakan pokok penanti dan matatunas dari pokok baka yang terpilih. Manakala kaedah tut pula, matatunas pada dahan/ranting yang baik dan sihat dipilih untuk dibuat tut. Bagi cantuman matatunas atau tut yang berjaya, anak pokok sukun boleh ditanam di kebun apabila mencapai umur tujuh hingga 12 bulan.
No comments:
Post a Comment