Monday, November 1, 2010

Pengenalan

Dengan adanya blog ini, dapatlah saya berkongsi ilmu dan pengalaman dengan sesiapa sahaja yang berminat untuk memberikan panduan, nasihat atau pertanyaan tentang projek pertanian dan apa-apa pun juga masalah yang berkaitan dengan tanaman. Semoga blog ini dapat menjadi wadah kepada pembangunan pertanian dinegara kita ini. Pertanian adalah sebagai sumber pendapatan dalam perniagaan.
wasalam.
_________________________________________________________




Ruangan pertama saya ini, dikongsikan tips penjagaan pokok durian.



PENGENALAN

Pokok Durian mempunyai dua musim buah yang utama dalam setahun iaitu pada bulan Jun hingga Ogos bagi musim pertama dan musim berikutnya pada bulan November hingga Januari. Manakala, Durian tergolong dalam famili Bombacaceae dan nama saintifiknya ialah Durio zibethinus Murr.

Di kalangan penggemar buah-buahan tempatan, buah Durian dikenali sebagai Raja Buah disebabkan ianya mempunyai rasa yang pelbagai dan unik serta bau yang kuat. Diantara klon buah Durian yang amat popular dan digemari ialah seperti klon D2 ( Dato Nina ), D7, D24 , D99 ( Kop Kecil ), D101 ( IOI ), D168  ( Mas Muar/ Hajah Asmah ) , D175 ( Udang Merah ), dan D197 ( Raja Kunyit ).

Bagi pembiakan pokok durian pula, ianya mudah dibiak dengan menggunakan kaedah Cantuman Matatunas dan Baji. Ianya dibiak dengan menggunakan pokok penanti dan matatunas dari pokok baka yang terpilih. Selepas cantuman, pokok yang telah berjaya dicantum boleh ditanam diladang apabila mencapai umur 12 bulan ke atas. Apabila pokok durian mencapai umur kematangan, iaitu 5 tahun hingga 7 tahun, buah durian yang gugur mempunyai rasa dan kualiti buah yang bermutu tinggi mengikut grednya.

Tip Penjagaan

Perkara yang amat penting selepas menanam anak pokok Durian ialah penjagaan, yang bermula dari awal pertumbuhan hingga mengeluarkan hasil . Tip penjagaan pokok Durian adalah seperti berikut.:

Pengurusan Air
§  Bagi anak pokok durian yang baru ditanam adalah digalakkan menggunakan bakul buluh, pelepah sawit atau kelapa untuk mengawal suhu pokok dan kelembapan tanah.
§  Penggunaan sabut kelapa dan sisa rumput kering yang di letakkan di pangkal pokok  juga boleh membantu mengawal kelembapan tanah.
§  Manakala, cuaca yang panas boleh mengakibatkan pokok durian menjadi layu dan terencat disebabkan kekurangan air. Oleh itu, anak pokok durian perlu di siram sekurang-kurangnya 2 kali sehari, pada awal pagi dan lewat petang.
§  Jika anak pokok ditanam di kebun yang jauh dari rumah, digalakkan menggunakan botol air yang ditebuk kecil pada bahagian penutup dan bahagian bawah pula di potong keliling. Seterusnya, botol perlu diletakkan disebelah pokok dan di sokong dengan kayu.  Apabila hujan turun, air akan bertakung dan disalurkan terus ke pokok.

Kawalan Rumpai
§  Racun rumpai sistemik tidak boleh digunakan di kawasan durian yang berumur kurang dari 2 tahun kerana merosakkan akar yang sangat aktif mengambil makanan.
§  Kawalan rumpai menggunakan cangkul atau sungkupan boleh mengawal rumpai di keliling pokok dan memudahkan kerja penyelenggaran seperti membaja.

Pembajaan
§  Pokok durian digalakkan menggunakan Baja tumbesaran iaitu NPK Hijau  15:15:15 pada peringkat awal pertumbuhan dan Baja buah iaitu NPK Biru  12:12:17:2 pada peringkat pokok berbuah.
§  Pembajaan anak pokok durian di lakukan dengan menggunakan kaedah tabur terus di keliling kanopi dan dikambus dengan tanah. Elakkan baja diletakkan pada pangkal pokok.
§  Pokok  durian yang sedang mengeluarkan bunga tidak boleh ditabur dengan baja kerana boleh mengakibatkan bunga durian menjadi kering dan gugur.
§  Digalakkan menggunakan baja organik ( tahi ayam yang telah reput) untuk memberikan baja tambahan pada pokok  supaya dapat menghasilkan buah durian yang bermutu tinggi dan berkualiti.
Pemangkasan
§  Pokok durian di bentuk dengan menggunakan sistem batang utama  ( Central leader ) pada peringkat awal. Ianya dibentuk dengan membiarkan satu batang utama sahaja yang tumbuh, manakala dahan kiri dan kanan perlu tumbuh secara mendatar.
§  Tujuan utamanya ialah untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan dan kematangan pokok durian.
§  Kerja pemangkasan penjagaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pertumbuhan pokok, menjaga kesihatan pokok dan mengawal saiz tumbesaran pokok durian.
§  Pangkas tunas air yang tumbuh menegak pada dahan primer, ranting yang tidak produktif dan  ranting yang melempai ke tanah serta dahan yang mati dan berpenyakit.
§  Di galakkan membentuk dahan pembuahan yang bersudut tirus atau kecil supaya mendatar. Hujung ranting perlu diikat  dengan menggunakan tali, ditarik kebawah dan diikat pada besi atau kayu yang dipacak di tanah sehingga dahan tersebut mendatar. Kelebihannya ialah dahan yang mendatar boleh mengeluarkan buah yang banyak.

 Kawalan Penyakit Dan Perosak

§  Apabila musim hujan tiba, pokok durian mudah diserang dengan penyakit kulat iaitu hawar daun yang mana kebiasaanya menyerang pada bahagian pucuk iaitu daun muda. Kesannya, daun muda mulai gugur pada bahagian pucuk dan boleh mengakibatkan pokok mati. Gunakan racun kulat untuk mengawal penyakit hawar daun ini.
§  Penyakit kanker batang perlu dirawat dengan menggunakan racun kulat  yang dibancuh dengan air, ianya perlu disapu pada bahagian batang yang diserang dengan kekerapan 2 kali sebulan. Sebelum disapu , bahagian batang yang dijangkiti perlu dikikis dahulu dan dirawat.
§  Bancuhan racun kulat hendaklah mengikut kadar yang ditetapkan pada label supaya dapat mengawal dan mengelakkan dari penyakit berjangkit.
§  Bagi pokok durian yang dijangkiti penyakit kanker pada  tahap yang kritikal, tindakan segera perlu dilakukan dengan memusnahkan pokok tersebut bagi mengelakkannya berjangkit ke pokok yang bersebelahan.
§  Apabila tiba musim buah, pastikan buah yang rosak dan pecah dikutip serta dibuang supaya tidak menjadi tempat pembiakan kulat dan serangga.
§  Pokok durian hendaklah ditabur dengan menggunakan Baja organik ( tahi ayam ) dan Baja buah iaitu NPK Biru  12:12:17:2 supaya menggantikan dan membekalkan nutrient yang hilang pada pokok.


__________________________________________________


Ruangan Kedua saya pula ialah tip penjagaan pokok cempedak :


PENGENALAN

Pokok cempedak adalah sejenis tumbuhan yang amat digemari dan banyak di tanam dikampung dan kebun. Pokok cempedak boleh mengeluarkan hasil apabila berumur 3 hingga 4 tahun selepas penanaman diladang. Manakala, hasil buah cempedak akan bertambah dengan banyaknya apabila diberikan penjagaan yang sempurna sejak dari awal penanaman lagi.
Cempedak tergolong dalam famili Moraceae dan nama saintifiknya ialah Artocarpus champeden.
Jarak tanaman yang disyorkan bagi anak pokok cempedak ialah 9 m x 9 m dengan menggunakan sistem empat segi sama atau segitiga. Bagi anak pokok yang ditanam dengan menggunakan sistem empat segi, bilangan anak pokok yang boleh ditanam ialah 123 pokok sehektar.
Klon cempedak yang ditanam di kawasan ladang UPM ialah seperti klon CH 26           ( Paya Jaras ), CH 27, CH 28, CH 29 ( Kuang 4 ), CH 30 ( Kuang 5 ), CH 31, CH 33
 ( Syin ) dan CH 35 ( Sri Temoh ).  

TIP  PENJAGAAN

Antara tip penjagaan yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut .:

Pengairan
ü  Penggunaan batang pisang yang dibelah dan dipotong boleh digunakan untuk mengawal kelembapan tanah. Apabila kepingan batang pisang telah berubah menjadi kering atau berbau busuk, ianya perlu digantikan dengan yang lain .
ü  Elakkan menyiram pada pangkal pokok cempedak bagi mengelakkan tanah terhakis.
ü  Gunakan sungkupan untuk mengawal kelembapan tanah dan kawalan rumpai.
ü  Kerja menyiram perlu dilakukan 2 kali sehari atau ditanam pada musim hujan.

Kawalan  rumpai
ü  Penggunaan sungkupan seperti sisa tumbuhan, sabut kelapa, tempurung biji kelapa sawit dapat mengawal pertumbuhan rumpai.
ü  Kawal rumpai dengan menggunakan cangkul atau racun rumpai dikeliling  kanopi pokok.

Pembajaan
ü  Baja tumbesaran/daun digunakan pada peringkat awal penanaman dari tahun 1 hingga 3. Baja yang digunakan ialah baja NPK Hijau 15:15:15 ditabur dikeliling pokok dengan kekerapan 3-4 kali setahun. Kadar yang digunakan bergantung kepada umur pokok, kesuburan tanah dan analisa tanah/daun.
ü  Baja buah yang biasa digunakan ialah baja NPK Biru 12:12:17:2 dengan kekerapan 3 kali setahun. Pembajaan pokok cempedak dilakukan pada 3 peringkat iaitu sebulan sebelum pokok berbuah, sebulan setelah buah berputik dan selepas kutipan hasil.
ü  Pastikan pokok  cempedak yang berbunga tidak ditabur dengan baja kimia kerana bunga cempedak akan layu, kering dan gugur.
ü  Penggunaan baja organik /tahi ayam dapat membantu membekalkan nutrient pada pokok dan meningkatkan hasil buah cempedak.
Pemangkasan
ü  Elakkan daripada pemangkasan yang keterlaluan.  Pemangkasan yang keterlaluan boleh mengencatkan pertumbuhan pokok.
ü  Pokok cempedak perlu di bentuk dengan menggunakan sistem batang utama   dengan membiarkan satu batang utama sahaja yang tumbuh dan dahan utama digalakkan tumbuh mendatar.
ü  Dahan yang mendatar akan mengeluarkan bunga dan buah apabila mencapai umur matang. Pastikan tunas air yang tumbuh dipangkas untuk elakkan persaingan mendapatkan makanan.
ü  Kerja pemangkasan penjagaan dan pembentukan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pertumbuhan pokok, menjaga kesihatan pokok dan mengawal saiz tumbesaran pokok.
ü  Pangkas tunas air yang tumbuh menegak pada dahan primer, ranting yang tidak produktif , ranting yang melempai ke tanah, dahan yang mati dan berpenyakit.

 Kawalan penyakit
ü  Penyakit tanaman cempedak yang paling serius ialah penyakit mati rosot yang menyerang bahagian dahan dan pangkal pokok. Bahagian yang di jangkiti mengeluarkan damar yang berwarna putih kekuningan.   
ü  Sekiranya serangan dapat dikesan awal, dahan ini perlu dipangkas dan di bakar.
ü  Penyakit reput putik buah biasanya menyerang pada putih muda yang mengakibatkan putik manjadi hitam dan gugur. Semburan racun kulat 2 minggu sekali pada peringkat pembungaan.

Kawalan Serangga
ü  Pokok cempedak biasanya diserang oleh serangga seperti pongorek buah, pengorek batang cempedak dan lalat buah. Penggunaan racun serangga yang bersesuaian mengikut simptom-simptom serangan serangga adalah amat penting sekali.
ü  Penyemburan racun serangga perlu mengikut jadual yang tertentu dan berkala.

2 comments:

  1. benar...durian sdg berbunga akan gugur hampir semuanya jika dibaja walaupun baja organik.
    waktu durian berbunga d selangor. mac, jun, aug dan jan/feb. buah 3x setahun boleh berlaku.
    guna baja organik sepenuhnya. info: 0176346979

    ReplyDelete
  2. Salam tuan....

    Tumpang Iklan Untuk
    Baja Foliar Terbaik EziGrow

    Senarai Pengedar Pun Ada
    SenangTumbuh.blogspot.com
    Hotline 0194551036

    ReplyDelete