Monday, November 8, 2010

TIp Penjagaan Terbaru

saya ingin kongsikan pula tips penjagaan rambutan untuk tambahan pengetahuan anda.

PENJAGAAN POKOK RAMBUTAN

PENGENALAN

Rambutan tergolong dalam famili Sapindaceae dan nama saintifiknya ialah Nephelium lappaceum linn.
Pokok rambutan mempunyai 2 musim buah yang utama iaitu bulan Jun hingga Ogos dan musim kedua pada bulan Disember hingga Januari. Musim boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok. Manakala jarak tanaman yang sesuai bagi pokok rambutan ialah 9 meter x 9 meter dengan menggunakan sistem barisan empat segi ataupun tiga segi.

Secara umumnya, pokok rambutan kahwin atau klon boleh mengeluarkan buah pada umur 3 tahun lebih selepas ditanam. Bagi mengalakkan pengeluaran buah rambutan yang banyak dan lebat, kerja penyelenggaraan perlu dilakukan seperti memangkas, membaja, kawalan penyakit dan perosak. Tempoh kematangan buah rambutan adalah 100 hingga 130 hari iaitu 3 – 4 bulan dari bunga kembang hingga buah masak.

Pokok rambutan mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman matatunas. Pemilihan matataunas yang subur, matang dan berkualiti membolehkan kadar peratus cantuman yang berjaya adalah tinggi. Kaedah pembiakan ini memerlukan dua komponen yang utama iaitu pokok penanti dan matatunas dari pokok baka yang terpilih. Cantuman matatunas yang berjaya akan di letakkan di dalam rumah naungan sementara. Anak pokok rambutan perlu diselenggara dengan baik dan teratur supaya pokok cepat membesar. Apabila anak pokok mencapai umur 5 bulan selepas dicantum, ia boleh ditanam dikebun atau ladang.

Setakat ini, klon buah rambutan yang popular di UPM ialah R99 ( Gula Batu ),  R156 ( Muar Gading ), R162 ( Oh Heok ), R191 ( Anak Sekolah ) dan Rambutan Seedless. Setiap buah rambutan mempunyai perbezaan dari segi bentuk buah, rasa isi, ketebalan isi, warna kulit buah, bentuk daun dan pokok.

TIP  PENJAGAAN

Antara tip penjagaan yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut.:

Pengairan
Pastikan pokok rambutan ditanam pada musim hujan supaya mendapat bekalan air yang secukupnya.
Pokok rambutan memang memerlukan sekurang-kurangnya 18 liter air sehari di peringkat awal  penanaman. Oleh sebab itu, pokok  rambutan perlu di siram 2 kali sehari iaitu awal pagi dan lewat petang.

Pemangkasan
Pokok rambutan perlu dibentuk dari awal pertumbuhan dengan membiarkan 3 hingga 4 dahan utama manakala dahan yang meninggi dipotong.
Tunas yang tumbuh pada dahan utama perlu dipangkas rapat pada permukaan dahan.
Ranting yang melempai ke bawah dan tidak produktif perlu dipangkas.
Bagi pokok rambutan yang telah mencapai umur matang tetapi tidak berbuah dicadangkan supaya bahagian dahan dan ranting yang tidak diperlukan perlulah dipangkas untuk membantu pokok berbunga serta berbuah.

Pembajaan
Bagi baja tumbesaran iaitu NPK Hijau 15:15:15, ianya perlu diberikan kepada pokok  mengikut kadar tertentu pada peringkat umur 1 tahun hingga 3 tahun dengan kekerapan 4 kali setahun.
Manakala baja buah iaitu NPK Biru 12;12:17:2 pula, ianya perlu di tabur di keliling kanopi pokok  pada  peringkat umur 4 tahun  dan keatas dengan kekerapan 3 kali setahun.
Selepas habis musim buah, baja organik dan baja buah perlu di tabur untuk mengantikan baja yang telah hilang.


Kawalan penyakit dan perosak
Serangga yang menyerang pokok rambutan seperti ulat buah, kumbang pemakan daun, ulat lipat pucuk perlu dikawal dengan menggunakan racun serangga yang sesuai.
Penyakit yang menyerang pokok rambutan seperti kulapuk berdebu, kulapuk hitam. penyakit kanker rambutan dan penyakit bntik alga perlu dikawal dengan menggunakan racun kulat yang sesuai dan kerja penyelenggaraan yang teratur.





No comments:

Post a Comment