Monday, January 30, 2012

1.7 - Tip pilih anak pokok durian

Penanaman pokok durian klon perlu diberikan perhatian terutama dari segi pembelian anak benih dan kesihatan pokok. Ini perlu dilihat dan diberikan keutamaan supaya hasil yang diperolehi 7 tahun akan datang adalah seperti yang diharapkan dan dijangkakan. Oleh itu, sumber benih yang dibeli perlu tulen dan disahkan oleh pakar yang tahu mengenainya. Sekiranya tidak, masalah pasti akan timbul dikemudian harinya dan ini akan membazirkan masa dan tenaga.
Dengan ini, saya akan nyatakan serba sedikit teknik bagaimana memilih anak benih yang baik yang boleh dijadikan panduan.

Pemilihan anak benih durian yang baik

1. Pilih pokok yang disyorkan untuk ditanam dan keutamaan mencari anak benih durian adalah dari agensi kerajaan seperti UPM, JPertanian, MARDI, Pertubuhan Peladang, RISDA dan nurseri swasta yang diiktiraf oleh Jabatan Pertanian .
Sila tanyakan pada pekerja nurseri samada anak benih klon mendapat pengiktirafan dari Jabatan Pertanian  atau tidak.

2.Pilih anak benih durian yang disyorkan atau pilihan sendiri yang terbaik. Tentukan klon durian yang hendak dibeli dan bilangan anak benih yang diperlukan.
Pastikan memilih lebih dari 2 jenis klon durian untuk pendebungaan berbantu yang dapat menambahkan hasil buah durian kelak.

3. Pastikan anak benih yang dibeli mencapai umur 10 bulan keatas atau ketinggian 30 cm. Ini adalah kerana anak benih ini adalah amat sesuai ditanam dikebun dengan cara penjagaan yang optimum dan berterusan.
Pokok jenis ini akan cepat tinggi dan cepat membesar.

4. Anak benih durian perlu bebas dari sebarang tanda-tanda jangkitan penyakit, kekurangan unsur baja dan keadaan pokok yang terbantut. Ini penting untuk memastikan anak benih sihat dan tiada sebarang masalah apabila ditanam kelak. Masalah akan tetap ada cuma ianya perlu dikurangkan.
Pokok yang berpenyakit akan mengundang kepada masalah untuk membeli racun kulat dan serangga dan menyebabkan peningkatan kos penjagaan. Ini akan menyukarkan kerja penjagaan sekiranya terlalu banyak serangan penyakit seperti kanker/ bengkak cerana, ulat pengorek batang dan hawar daun.

5. Pastikan memilih daun pucuk yang tua/matang/hijau tua/daun subur kerana telah melalui proses kesuburan dan kelasakkan samada pada akar, pokok dan tunas. Anak benih seperti ini adalah amat sesuai ditanam kerana akarnya telah bersedia untuk mencari makanan dan membesar.
Manakala daun tua itu sebenarnya telah mendapat zat makanan yang secukupnya semasa proses tumbesaran.

6. Pastikan anak benih mempunyai pucuk tua yang menegak keatas dan bukannya melempai/condong ketepi. Ini kerana bagi memastikan pokok cepat mengeluarkan tunas sisi yang  tegap dan membesar dengan pantas.
Pokok yang menegak mempunyai kekuatan untuk mengeluarkan tunas baru dan menghasilkan zat nutrien yang cepat dicerna oleh pokok.Selain itu, pokok mempunyai kekuatan ranting atau dahan yang kuat apabila mengeluarkan buah nanti.

7. Elakkan dari membeli pokok yang telah pecah tanah polibegnya atau akar telah putus.serangan kulat mudah dan pokok biasanya mempunyai jangkahayat yang pendek.

Wednesday, January 25, 2012

Pengiraan Bilangan Anak Pokok

Sekiranya anda bercadang menanam pokok buah-buahan , antara perkara yang perlu diketahui ialah jenis pokok yang dikehendaki, jarak tanaman pokok , cara penanaman dan bilangan pokok yang diperlukan.

Oleh itu, anda sudah pasti akan dapat menjangkakan secara kasarnya bilangan anak benih yang perlu ditanam berdasarkan kepada keluasan tanah anda.
Saya akan bantu anda untuk mengira jumlah anak pokok yang diperlukan sekiranya keluasannya ialah 1 hektar.

Contoh :

Jenis tanaman : Pokok Durian

Jarak Tanaman ; 10 x 10 meter

Sistem penanaman : Segiempat sama

Keluasan tanah    ;  1 hektar ( 10,000 m )

Formula :\

Luas kawasan     x      Angkatetap( Sistem tanaman )
Jarak tanaman

* Angkatetap - sistem tanaman empatsegi - 1.0
                      - sistem tanaman segitiga    - 1.15
_________________________________

Contoh :

Maklumat asas :

  • Anak benih Durian D197
  • Jarak tanaman yangt disyorkan ialah 10 x 10 m
  • Sistem tanaman - Segiempat sama
  • Keluasan tanah 1 hektar

10,000          x 1.0
10m x 10 m

= 100 pokok/hektar ( jumlah pokok yang diperlu ditanam )

___________________________________________________


Contoh 2;

Maklumat asas :
  • Anak Pokok Rambutan R191
  • Jarak tanaman yang disyorkan ialah 9 m x 9 m
  • Sistem tanaman - Segitiga
  • Keluasan tanah  - 1 hektar

10,000        x 1.15
9 m x 9 m

=141 pokok/hektar( jumlah pokok yang perlu ditanam )

_____________________________________________________

1.6 - Jenis tanah Tanaman Durian

Pokok durian perlu ditanam dikawasan tanah yang mempunyai kesuburan yang tinggi dan biasanya tanah yang mempunyai jenis tanah peroi dalam, tanah lom liat berpasir dan tanah lom liat.Elakkan dari menanam ditanh gambut dan tanah jenis bris.

Pokok durian yang ditanam dikawasan rata mempunyai risiko yang tinggi untuk penyakit kanker/bengkak cerana batang yang selalu bermula dari bahagian akar dan terus merebak ke bahagian batang dan dahan durian.
Kanker durian juga dikenali sebagai Phythopthora palmivora.

Penyakit kanker ini boleh merebak apabila berlakunya lebihan air dalam tanah dan bertakung. Ini mengakibatkan tanah menjadi masam, akar pokok terendam dan menyebabkan kulat mudah merebak. Perkara begini memang tidak dapat dielakkan daripada berlaku sekiranya hujan turun dengan lebat dan tiada sistem peparitan yang sempurna. Oleh itu, digalakkan membuat istem peparitan yang dikawasan air yang bertakung/di tempat yang rendah dan menyalurkan lebihan air keluar dari kebun.

Pokok yang dijangkiti akan mengeluarkan tompokkan warna perang kehitaman pada batang/dahan dan mengakibatkan pengeluaran cecair damar yang berwarna coklat. Tompokkan coklat kehitaman ini menandakan pokok berada pada tahap yang serius dan memerlukan tindakan pencegahan yang cepat supaya tidak merebak dan menjadi lebih teruk lagi.

Kesan yang paling ketara dan jelas dapat dilihat ialah biasanya daun pokok akan gugur dan meninggalkan ranting, dikuti ranting akan menjadi kering dan mati.Manakala  tunas air akan keluar dari dahan dan batang, Adakalanya mengeluarkan bunga dan buah untuk kali yang terakhir. Ini boleh mengakibatkan pokok menjadi mati secara perlahan-lahan.
Oleh itu, pokok yang dijangkiti perlu dirawat dengan segera dan berulang.

Tindakan pencegahan :
  1. Kikis kulit yang diserang dengan menggunakan parang/pengikis besi sehingga sampai terlihat batang kayu.
  2. Selepas itu, sapu dengan racun kulat yang disyorkan seperti alliette, ridomil 75WP dengan menggunakn berus cat pada bahagian yang diserang. Sisa kulit tercemar perlu dibuang keluar dari kebun.
  3. Gunakan racun kulat mengikut kadar yang disyorkan.
  4. Ulangi rawatan selang 2-3 minggu sekali sehingga pulih                                                                                                                                 

1.5 - Pemilihan Anak Benih Durian

Faktor pemilihan anak benih durian perlu diberikan perhatian semasa membeli dinurseri dan perlu disahkan ketulenannya. Pastikan pilih pokok yang disyorkan dan membeli di agensi /nurseri yang diiktiraf oleh Jabatan Pertanian. Setiap nurseri yang menjual mesti mempunyai sijil ketulenan baka yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian.
Antara kriteria anak benih durian yang perlu dipilih ialah :

1. Pilih anak benih/pokok yang mempunyai tunas sisi ketiak daun yang aktif dan cepat membesar.
2. Pilih anak benih/pokok yang berdaun tua keseluruhannya dan elakkan dari memilih daun yang pucuk muda/sederhana muda. Sekiranya daunnya masih muda ,anda perlu menjaga sehingga pokok berdaun tua dan selepas itu barulah boleh ditanam.
3. Pilih pokok yang telah mencapai umur 10 bulan keatas atau 30 cm keatas. Pokok ini boleh diketegorikan sebagi pokok yang sesuai ditanam.
4. Pastikan pokok tidak dijangkiti penyakit atau kekurangan unsur zat nutrien. Ia boleh mengakibatkan pokok bermasalah apabila ditanam dikebun.
5. Pastikan pokok mempunyai batang utama yang tegap dan tidak condong. Pokok cepat membesar dan aktif.
6. Pilih pokok yang mempunyai batang pangkal yang besar dan tegap. Ia banyak menyimpan makanan dan cepat mengeluarkan tunas baru.
7. Elakkan dari membeli pokok yang akarnya telah keluar dari polibeg. Ia boleh mengakibatkan pokok terencat dan lambat untuk membesar.

Ini adalah sebagai tip untuk pemilihan anak benih dinurseri dan saya galakkan anda mencuba tip ini.

sebarang masalah boleh email komen/email pada saya.

Tuesday, January 24, 2012

1.4 - Tip memilih buah durian

Sekiranya anda ingin memilih durian yang dijual digerai tepi jalan atau dimana-mana sahaja, saya syorkan supaya anda mengikut langkah pemilihan yang berikut. :

Pemilihan buah durian adalah berdasarkan kepada 3 bahagian yang utama :

1. Bahagian tangkai - pastikan tangkai masih baru / terasa melekit apabila digosok pada permukaan tangkai.   Sekiranya tangkai sudah lama, biasanya layu dan kecut. Ini menandakan buah telah lama gugur dan tidak segar lagi.
Lihat permukaan tangkai, bulatan pertama didalam tangkai adalah menentukan biji dan bulatan kedua menandakan isi, samada tebal atau nipis.

2. Bahagian Duri dan kulit durian  - pastikan duri durian masih keras dan tajam, ia menentukan buah amsih segar lagi, manakala warna kulit tidak berubah kepada kekuningan. sekiranya perlu goncang buah sekiranya berbunyi, ia menentukan isi masak sepenuhnya terutama D24 ( biasa mengkal). 
Jika pandai urutan dari atas kebawah juga boleh digunakan untuk menentukan buah masak.

3. Bahagian bawah durian - pastikan buah tidak merekah dan busuk. elakkan dari memilih buah durian yang pecah, ini kerana buah tidak mempunyai aroma sebenar kerana telah mengalami proses penyusutan kualiti buah.

* Tip yang terbaik - minta penjual buah ,mengopekkan buah durian yang anda pilih dan makan disitu. ia dapat mengelakkan buah yang dipilih bila dibawa pulang akan menjadi mengkal/busuk/keras/isi nipis
Sekiranya anda ingin membawa pulang kerumah, pastikan buah yang dipilih bersaiz sederhana dan ikuti langkah seperti diatas.

Pokok buahan

Pokok buah terbahagi kepada 2 kategori yang utama :

  1. Pokok buahan komersil - terdapat 16 jenis tanaman buahan yang boleh diusahakan
     seperti durian, rambutan, nangka, cempedak, mangga, dokong, limau madu, pulasan, ciku, manggis, longan,duku langsat/duku, kedondong, durian belanda, belimbing madu dan petai
  2. Pokok buah nadir - pokok yang jarang2 ditanam dan kurang mendapat sambutan. seperti nam-nam, cermai, sentul, salak, delima, sukun, buah kuini, cheri dan sebagainya

1.3. Pemilihan Klon Tanaman Durian

Pokok Durian Klon yang terpilih mempunyai keistimewaan rasa yang berkualiti dan tekstur yang terbaik. Oleh itu, sebelum penanaman dilakukan, eloklah kalau difikir2kan apakah jenis klon yang sesuai dan terpilih untuk ditanam dikebun.
Disini ada saya nyatakan klon yang terpilih dan terbaik. Pilihan ditangan anda.


  1. Durian D2 - Dato Nina / buah isi oren, tebal dan rasa lemak krim
  2. Durian D7  - Isi kuning dan rasa lemak manis
  3. Durian D10  - Isi kuning dan tebal, rasa lemak manis , buah lebat
  4. Durian D24   - Rasa lemak manis dan sedikit pahit, isi tebal dan kadangkala meragam/mengkal
  5. Durian D84  - Rasa lemak manis dan isi tebal, banyak buah
  6. Durian D96  - Bangkok A, rasa lemak krim dan isi tebal serta warna isi oren.
  7. Durian D99 -  Kop kecil, rasa lemak manis dan isi sederhana tebal, warna isi kuning
  8. Durian D101  - Rasa lemak dan manis sedikit pahit, tekstur lembut dan warna isi kuning
  9. Durian D123 - Chanee , rasa lemak dan manis. isi tebal
  10. Durian D118  - durian tembaga , isi tebal dan rasa lemak dan manis.
  11. Durian D145  - Beserah , isi tebal dan lemak manis. warna isi kuning.
  12. Durian D158  - Kan Yau/Tangkai panjang - rasa lemak manis dan isi tebal.
  13. Durian D159   - Monn thong - bantal emas , rasa isi lemak dan manis, isi tebal dan sedikit lembik
  14. Durian D168   - Hajah hasmah/MAsmuar - rasa yang lembut, lemak, manis dan sedikti pahit dan isi tebal
  15. Durian D169   - Tok litok  - rasa lemak krim dan isi tebal tetapi sedikit lembik
  16. Durian D175  - Udang merah  - rasa lemak , manis dan krim. isi tebal dan warna kuning oren.
  17. Durian D187  - MDUR 78 , rasa lemak manis dan isi tebal, warna isi kuning dan pejal.
  18. Durian D190  - Mdur 88 , isi tebal, rasa lemak manis dan warna isi kuning oren
  19. Durian D197  - Musang king/raja kunyit  , rasa lemak, manis, pahit isi kuning

Sistem Campuran/Kombinasi Klon terpilih
Sebelum penanaman dilakukan, perlu ditentukan peratus pokok klon terpilih dan pokok bagi pendebungaan adalah seperti yang berikut.:

Pokok klon terpilih/utama  - 60 % Klon seperti diatas
Pokok Klon pendebungaan - 30 %  Klon yang banyak mengeluarkan bunga dan buah( D8, D7, D84,D66)
Pokok tempatan                    - 10% Pokok kampung terpilih/pokok durian dari baka thailand

Benih pokok boleh didapati samada di UPM, MARDI, Jabatan Pertanian, Nurseri Swasta dan agensi kerajaan yang lain.

Sunday, January 22, 2012

Siri 1.2- Pokok Durian

Pokok Durian Klon

Buah durian klon/kahwin menjadi pilihan utama dikalangan pengemar durian terutama buah yang amat dikenali sebagai musang king, masmuar, udang merah, MDUR, Tok litok, Durian tembaga dan banyak lagi. Durian klon ini memang mempunyai rasa yang sangat berkualiti tinggi, diminati dan terbaik dari ladang. Tidak hairanlah kalau harganya melambung tinggi dan diminati oleh ramai orang kerana rasanya yang bagus.
Pokok durian klon juga sangat mahal dipasaran dari harga RM 12 hingga RM 50 sepokok bergantung kepada ketinggian pokok. Tetapi di UPM harganya hanyalah sekitar RM 8 sepokok.

Pokok durian klon yang ditanam mengambil masa 5 hingga 7 tahun selepas ditanam dikebun/ladang. Dengan penjagaan yang baik dan berterusan mampu memberikan pulangan yang baik dan bermusim. Musim yang utama pada bulan Jun, julai dan ogos dan musim yang kedua pula pada bulan Okt, N0v dan Disember.

Klon durian yang didaftar kini ada 197 klon diJabatan Pertanian. Klon yang pertama bermula dari D1 hingga D 197 , pendaftaran klon akhir ialah tahun 1993. hingga kini masih belum ada yang didaftarkan lagi.
Klon durian yang sangat popular ditanam dikebun/ladang ialah seperti D2, D7, D99,D24, D96, D99, D101,D155,D58,D159,D160,D168,D169, D175 dan D190 dan D197 dan banyak lagi.

Sehingga kini pasaran durian masih tinggi dan laris terutama pada musim yang utama dan menjadi sumber penjanaan pendapatan dikalangan petani dan pengusaha durian.

Harga Buah durian Musang King - diantara RM 25-RM 35 sekilogram

Harga Buah durian Udang Merah - Diantara RM 25- RM 30

Harga Mas Muar - Diantara RM 8 hingga RM 20 sekilogram

Harga Durian Kampung - RM 2 hingga RM 15 sekilogram

DI upm harga Durian adalah tetap iaitu RM 4- 5 sekilogram

Saturday, January 21, 2012

Siri 1.1- Pokok Durian

Pokok durian Kampung/biji

        Pokok durian biji/kampung adalah durian asal yang diberasal dari hutan dan dibawa ditanam disekitar kampung, pekan, bandar, mukim dan negeri. Buah durian kampung mempunyai rasa yang tidak menentu dan adakalanya isi durian tebal, lemak, beraroma, berkualiti dan adakalanya mempunyai isi yang nipis, tawar dan tidak bagus. Ia bergantung kepada biji yang ditanam dan tempat dimana durian tersebut ditanam.

         Pokok durian kampung mengambil masa 8 hingga 10 tahun keatas untuk berbuah dan juga bergantung kepada keupayaan pokok untuk berbuah. Pokok durian kampung sangat lambat berbuah kerana mempunyai akar tunjang yang panjang dan pokok yang besar serta tinggi dan boleh mencapai sehingga 40 meter tinggi.

        Dari dahulu lagi buah durian ditanam melalui biji benih dan sekiranya buah durian yang terhasil mempunyai kualiti buah yang bermutu seperti isi tebal, rasa yang beraroma, saiz buah yang baik, buah yang tidak meragam, pertumbuhan pokok yang tersendiri dan menjadi pilihan pengemar durian, pastinya tuan pokok boleh mendaftar pokok tersebut untuk dijadikan pokok baka/klon.

Pendaftaran klon dibuat bermula dari 1 hingga berikutnya dan diberikan pangkal D ialah Durian/Durio.

Contoh :

Nama botani : Durio zibethinus murr

Klon yang didaftar : D197

Nama tempatan : Raja Kunyit/Musang King

Tahun didaftar : 9.12.1993

Tuan Punya : Wee Chong Beng

Asal : Tanah Merah Kelantan

Sunday, January 15, 2012

Siri 1 - Pokok Durian

Pokok durian merupakan tanaman yang paling banyak mendapat sambutan dan digemari hampir kebanyakkan orang diMalaysia mahaupun luar negara. Buah durian boleh dikatakan sangat unik dan kepelbagaian rasa apabila kita memakannya. Setiap durian yang ditanam mempunyai rasa yang tidak sama dan ianya bergantung kepada asal usul durian tersebut.
Durian berasal daripada hutan dan ditanam meluas di kampung , bandar dan pekan. Durian kampung mempunyai isi yang nipis dan rasa pahit. Buah durian kampung dijual dengan harga yang rendah dan dilelong secara longgok.
Sekarang ini, kebanyakkan durian yang ditanam adalah daripada klon yang mana memang terbukti mempunyai kualiti buah yang terbaik dan bermutu. Secara umumnya, Durian terbahagi kepada 2 kelas yang utama iaitu durian biji ( kampung ) dan Durian klon ( kahwin).
Kedua-dua buah durian ini mempunyai kriteria yang berbeza dan ciri-ciri buah yang sangat jelas  berbeza.
  1. Durian klon - Klon yang telah didaftar di Jabatan Pertanian ialah dari D1 sehingga D197.
  2. Durian biji /kampung  - tidak didaftar tetapi dibiarkan tumbuh sebagai durian yang asal dan mempunyai rasa yang berlainan( ada yang sedap dan tidak ) 

Thursday, January 12, 2012

Pokok buahan Tempatan Bersiri

Untuk makluman semua, saya akan update blog nie dengan info berkaitan dengan pokok buah-buahan yang pelbagai. oleh itu, saya akan sentiasa bagi tip2 terbaru dan terkini samada tenologi pertanian ataupun sebagainya.