Fish

Thursday, February 24, 2011

LIMAU MADU

LIMAU MADU

Nama saintifik bagi Limau Madu ialah Citrus suhuiensis dan ianya tergolong dalam keluarga Rutaceae.
Pokok limau madu merupakan tanaman yang berpotensi tinggi untuk dimajukan dan mendapat permintaan yang mengalakkan dikalangan peminat buah-buhaan tempatan. Ini kerana buah limau madu mempunyai rasa yang manis, kandungan jus yang tinggi, saiz buah yang baik dan kurang mempunyai serat serta hampas.
Tanaman limau tidak mempunyai musim yang utama tetapi pengeluaran buah limau adalah berdasarkan kepada keadaan iklim semasa, bentuk mukabumi dan kesesuaian tanah.
Bagi penanaman pokok limau madu pula, perkara yang perlu dititikberatkan ialah penentuan jarak dan sistem tanaman. Jarak tanaman yang disyorkan untuk tanaman limau ialah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segiempat sama. Kepadatan pokok bagi keluasan sehektar ialah 277 pokok.
Pokok limau madu boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan tut
( pengakaran ). Pembiakan tut ini biasanya mengambil masa lebih kurang 30 - 45 hari untuk mengeluarkan akar dan seterusnya dialihkan ke dalam polibeg kecil.
Secara umumnya, pokok limau madu mula mengeluarkan hasil pada umur 2 hingga 3 tahun selepas di tanam dan pengeluaran buah amat bergantung kepada penjagaan yang sempurna dari awal penanaman sehingga mula berbuah.
Varieti limau yang ada ditanam di kawasan ladang UPM ialah Limau Madu dan Limau Langkat.

 

TANAMAN SUKUN

POKOK SUKUN

PENGENALAN

Pokok sukun berbuah sepanjang tahun namun pengeluaran bunga meningkat sekitar Februari Mac dan Julai/Ogos.  Pengutipan hasil dijangka selepas dua bulan berbunga iaitu April/Mei dan September/Oktober.  Sukun mula mengeluarkan hasil setelah lebih dua tahun ditanam dan berat sebiji buah sukun dianggarkan satu hingga tiga kilogram.

Sukun tergolong di dalam famili Moraceae, genus Artocarpus dan nama saintifiknya adalah Artocarpus communis; sama genusnya seperti nangka dan cempedak.  Pokok sukun dipercayai berasal dari Polinesia dan banyak terdapat di kawasan tropika seperti di Sri Lanka, Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik termasuk di negara kita.
Kandungan karbohidrat yang tinggi pada buah sukun boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan pelbagai jenis hidangan.  Di Kepulauan Polinesia, sukun merupakan makanan ruji penduduknya.  Kepingan sukun disalut tepung yang digoreng amat popular di negara kita sebagai hidangan minum petang.  Di samping dijadikan kuih-muih, industri hiliran seperti kerepek, cips, jem dan biskut mula mendapat pasaran di negara kita.
Bagi pembiakan pokok sukun pula, ianya mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman matatunas dan tut (markot).  Bagi kaedah cantuman matatunas, ia dibiak dengan menggunakan pokok penanti dan matatunas dari pokok baka yang terpilih.  Manakala kaedah tut pula, matatunas pada dahan/ranting yang baik dan sihat dipilih untuk dibuat tut.  Bagi cantuman matatunas atau tut yang berjaya, anak pokok sukun boleh ditanam di kebun apabila mencapai umur tujuh hingga 12 bulan.




 

TANAMAN GAJUS

PENJAGAAN POKOK GAJUS

PENGENALAN

Pokok gajus dipercayai berasal dari Brazil telah diperkenalkan di India pada abad ke 16 dan seterusnya meluas ke negara subtropika dan tropika termasuk di negara ini.  Pokok gajus banyak ditanam di kawasan pantai timur Semenanjung terutama di negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Gajus tergolong di dalam keluarga Anacardiaceae dan nama saintifiknya adalah Anacardium occidentale.

Pokok gajus biasanya mula berbuah setelah berumur tiga tahun.  Ia mula berbunga pada bulan Februari hingga April dan berbuah pada bulan Mei hingga Julai.  Pokok gajus dijangka produktif selama 15 hingga 20 tahun.

Buah gajus boleh dimakan segar mahupun dijadikan sebagai sebahagian inti kerabu atau diproses menjadi cuka.  Biji gajus yang digoreng, dipanggang dan dimasinkan sangat popular sebagai makanan ringan.  Biji gajus panggang juga biasa didapati di dalam aiskrim, biskut dan kek malahan di dalam masakan cina dan siam.  Pucuk gajus sangat digemari sebagai ulam di kalangan masyarakat di negara ini yang dipercayai dapat mengurangkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan menyembuhkan ulser dalam mulut.

Pembiakan pokok gajus adalah dengan menggunakan kaedah cantuman matatunas dan semaian bijibenih.  Kaedah cantuman matatunas memerlukan pokok penanti berumur tiga hingga tujuh bulan, ranting matatunas dari pokok yang diketahui baik bakanya, pisau cantuman dan pembalut lutsinar.  Teknik mencantum yang betul dapat menentukan daun baru tumbuh di matatunas yang telah dicantum.

Bagi pembiakan secara semaian bijibenih pula, biji gajus dari pokok yang baik bakanya dijemur dua hingga tiga hari sebelum ditanam di dalam petak semaian yang mengandungi pasir sungai.  Apabila dua hingga tiga helai daun mulai tumbuh, anak pokok dipindahkan ke dalam polibeg.

Setelah cantuman matatunas dan semaian bijibenih yang dibiak telah hidup dengan baiknya, ia perlu diberikan naungan dan penjagaan yang sempurna selama lapan hingga 12 bulan sebelum sesuai ditanam di kebun.

Tip Penjagaan

Tip penjagaan yang dapat dikongsi untuk ruangan kali ini ialah seperti yang berikut:

Pengairan

§  Pokok gajus perlu disiram sekurang-kurangnya 2 kali dalam sehari di awal pagi dan lewat petang bagi mengalakkan pertumbuhan vegetatif yang cepat dan aktif.
§  Anak pokok gajus memerlukan pengairan untuk tempoh dua hingga tiga bulan selepas penanaman kerana akar serabut belum berfungsi sepenuhnya untuk mendapatkan air.
§  Untuk memberikan kelembapan pada tanah dan mengurangkan suhu pokok, adalah digalakkan meletakkan sabut kelapa di sekeliling anak pokok sebagai bahan sungkupan.
§  Naungan dengan menggunakan pelapah kelapa sawit/kelapa di peringkat permulaan penanaman sangat digalakkan bagi mengurangkan anak pokok terencat pertumbuhannya dan pemeluwapan air ke udara.  Naungan dikurangkan sedikit demi sedikit sehingga anak semakin dewasa.

Pengawalan rumpai

§  Kawalan rumpai dijalankan sebelum kerja pembajaan dilakukan dan semasa musim berbuah supaya mudah mengutip biji gajus yang telah gugur ke tanah.
§  Kawalan rumpai secara manual dengan menggunakan cangkul pada peringkat awal pertumbuhan pokok gajus dapat membantu mengawal rumpai yang tumbuh di sekelilingnya.  Di samping itu, sungkupan dengan menggunakan rumput kering atau hampas kelapa sawit turut dapat mengawal pertumbuhan rumpai dan memudahkan kerja penyelenggaraan seperti pembajaan.
§  Rumpai juga boleh dikawal dengan menggunakan racun kimia yang mempunyai bahan aktif paraquat atau glyphosate.  Pemilihan racun kimia bergantung kepada jenis rumpai yang tumbuh dan kesesuaian umur pokok gajus.  Kekerapan semburan ialah di antara tiga dan empat kali setahun.

Pembajaan

§  Pada peringkat awal pertumbuhan pokok, baja tumbesaran seperti NPK Hijau 15:15:15 diberikan dua atau tiga setahun bagi menggalakkan pertumbuhan vegetatif pokok gajus.
§  Kadarnya adalah 120 gram ketika pokok berumur satu hingga enam bulan, 230 gram ketika pokok berumur tujuh hingga 12 bulan, 300 gram ketika pokok berumur 13 hingga 18 bulan, 350 gram pada ketika pokok berumur 19 hingga 24 bulan dan 450 gram mulai pokok berumur 25 bulan.
§  Pembajaan pokok gajus dewasa dijalankan sebelum musim pokok gajus berbunga iaitu pada bulan Februari/Mac dan September/Oktober.
§  Kaedah pembajaan pokok gajus biasanya menggunakan sistem poket atau peparit di sekeliling pokok. Pastikan dikambus dengan tanah selepas ditabur dengan baja di bawah kanopi pokok.

Pemangkasan

§  Pokok gajus tumbuh dengan pesatnya ketika pokok berumur dua tahun dengan pertumbuhan dahan dan ranting baru.
§  Dahan yang rendah hendaklah dipangkas.  Pangkas juga dahan dan ranting yang tidak produktif, ranting yang melempai ke tanah, dahan yang mati dan berpenyakit.
Kawalan penyakit dan perosak

§  Ulat pemakan daun, ulat pengorek batang dan anai-anai adalah beberapa perosak dikenalpasti menyerang pokok gajus.  Kawalan yang disyorkan menggunakan racun serangga dengan bahan aktif methamidophos atau malathion.
§  Penyakit antraknos boleh menyebabkan pengurangan hasil dari pokok gajus.  Kawalan kulat pembawa penyakit ini dengan mengunakan racun kulat dapat mengurangkan penyakit ini di kawasan tanaman gajus.
§  Bancuhan dan kekerapan penggunaan racun serangga dan kulat hendaklah mengikut kadar yang ditetapkan pada label supaya dapat pengawalan yang terbaik dan berkesan.
§  Kebersihan persekitaran kawasan kebun hendaklah sentiasa dijaga bagi mengelakkan menjadi perumah kepada ulat dan serangga perosak.